PERANAN INSTITUSI PONDOK DALAM PERKEMBANGAN PENDIDIKAN

PERANAN INSTITUSI PONDOK DALAM PERKEMBANGAN PENDIDIKAN -KEDAH SEBAGAI KAJIAN KES

Oleh: Ust.Niamat Yusoff

Pendahuluan

Sistem pondok di Kedah mungkin boleh dirujuk pertumbuhannya di awal abad yang ke sembilan masihi, selaras dengan apa yang berlangsung di Kelantan dan Terengganu. Sistem ini bermula dalam tahap kedua daripada perkembangan pengajian fardhu ain yang dikendalikan oleh ulama’-ulama’ diperingkat awal yang hanyaberpusat di masjid-masjid, surau-surau dan seumpamanya.

Pendidikan fardhu ain yang semakin mendapat tempat itu kemudiannya turut berubah corak pendekatan dan perlaksanaannya dengan pemusatan yang lebih teratur dan kemas. Hal ini terjadi ialah kerana ulama’-ulama’ yang sedang memimpin pendidikan dewasa itu telah berjaya menarik perhatian masyarakat di luar daerah dan negeri menerusi perubahan hidup yang telah tercapai disekitar masyarakat dimana mereka sedang berperanan. Berita perubahan itu terutamanya yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan cara hidup yang lebih berdisiplin, telah mengikat hati penghuni-penghuni luar datang ke tempat pengajian yang berkenaan untuk belajar dan mengaut sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman bagi tujuan melebarkan pembaharuan hidup ditempat masing-masing.

Sistem pondok yang sedang dibicarakan ini adalah merupakan suatu sistem yang tergabung didalamnya segata ciri-ciri utama pendidikan yang diterokai oleh Rasulullah s.a.w di masjid Annabam di Madinah Almunawarrah, dimana didalammya terbina syakhsiah-syakhsiah islamiah yang unggul yang dapat dilihat dalam peribadi para sahabat yang sedang menjadi murid kepada Rasulullah pada ketika itu. Peribadi-peribadi inilah kemudiannya membentuk suatu generasi yang unggul yang lebih dikenali sebagai “generasi al-Quran” (Al-jilul-Qurani) di mana segala tuntutan al-Quran dapat dilihat di dalam cara hidup mereka. laitu suatu generasi yang mampu membelah zaman dan keadaan dengan pembaharuan-pembaharuan yang dapat meletak kembali umat manusia diatas singgahsana keinsanan yang telah hilang buat beberapa lama oleh banjir kebendaan yang melimpah turun dari kekuasaan dua empayar besar ketika itu, empayar Rom dan Parsi.

BEBERAPA CIRI UTAMA 

Ciri-ciri yang tergabung di dalam sistem yang unggul ini antaranya yang paling utama ialah;

Pertama, tempat pendidikan berpusat ditempat yang paling bersih dan sejahtera dari segala pengaruh yang boleh menghancurkan keadaan . Dalam zaman penerokaan yang dipelopori oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang termaklum, masjid Annabawi adalah sebagai pusat utama pendidikan yang telah berjaya mencetuskan sumber peradaban yang mampu berkembang keseluruh dunia hingga sekarang ini. Didalam pemerintahan-pemerintahan Islam berikutannya peranan masjid sebagai pusat pendidikan terus dipertahankan. Hal ini dibuktikan oleh peninggalan sejarah di seluruh dunia yang pernah diduduki oleh Islam dimana masjid-masjidnya masih utuh dan kuat dengan rekabentuk yang bukan saja menunjukkan ia sebagai tempat ibadat tapi jauh lebih dari itu, sebagai pusat pendidikan . Atas pengaruh dan isyarat inilah juga maka institusi pondok turut menjadikan masjid, surau atau seumpamanya sebagai pusat pendidikan. Di sanalah para murid dibina mental (akliah) dan rohaninya menerusi kegiatan-kegiatan beribadat dan belajar, secara selaras dan seimbang.

Kedua; guru yang mursyid merupakan syarat utama dalam pendidikan . Dalam zaman kenabian, Rasulullah s.a.w. yang dipimpin sendiri oleh Allah s.w.t. muncul sebagai guru secara langsung kepada para sahabat ridwanullahi ‘anhum ajma’in , Dalam konteks pendidikan pondok seorang guru yang mursyid dan berpengalaman adalah merupakan suatu tuntutan yang tak dapat dielakkan. Guru mursyid dalam konteks pendidikan pondok adalah bersih dari matlamat keduniaan. Tugas ta’Iim (mengajar) dalam konsep Islam adalah merupakan suatu kewajipan yang mesti dilaksanakan malah dianggap sebagai suluk (perjalanan) khusus bagi sang guru untuk sampai ke akhirat dengan selamat selain dari proses-proses lain yang telah dipertanggungjawabkan keatas bahu mereka. Justeru itu sebarang niat yang lain dari mencapai keredhaan Allah akan dianggap merbahaya dan boleh menjejaskan matlamat.

Ketiga; para murid yang terdedah kepada asuhan guru adalah terdiri dari peribadi-peribadi yang ikhlas, datang menyerah diri kepada guru untuk diajar dan diasuh demi untuk mendapatkan keredhaan Al­lah. Seperti guru juga, sebarang niat yang berbau keduniaan akan membawa padah berdasarkan sebuah hadis:

Ertinya: “Barangsiapa mempelajari ilmu untuk selain Allah atau berkehendakan dengan ilmu selain Allah maka hendaklah ia menyediakan tempatnya di dalam api neraka”

Dalam zaman permulaan Islam, di zaman Rasulullah s.a.w para murid adalah terdiri daripada para sahabat ridwanullahi’anhum ajma’in yang datang dari berbagai-bagai tempat di jazirah Arab mewaktli qabilah masing-masing untuk mendapatkan ilmu dan didikan terus dari Rasulullah s.a.w supaya dapat disebarkan semula ilmu itu ketika pulang ke tempat masing-masing. Isyarat itu dapat dirujuk kepada surah “at-Taubah11 ayat 123 dalam al-Quran :

Ertinya: Dan tidaklah (boleh) orang-orang yang beriman itu turut semuanya (berperang), tetapi alangkah baiknya keluar dari tiap golongan itu, diantara mereka satu kelompok! supaya mereka memperdalam pengertian tentang agama, dan supaya mereka memberi ancaman kepada kaum mereka apabila mereka kembali kepada kaum mereka itu, supaya mereka berhati-hati.

Didalam pendidikan pondok adalah juga demikian halnya. Para murid adalah terdiri dari berbagai-bagai golongan masyarakat yang datang dari berbagai-bagai tempat dan latar belakang, jauh atau dekat, mewakili kampung, daerah dan negeri masing-masing dengan tujuan untuk mendapatkan ilmu dan pengalaman pendidikan supaya dapat disebar pula ilmu dan pengalaman ketika pulang ke ribaan masyarakat masing-masing.

Ketika berada di pusat pengajian mereka menumpang di tempat-tempat tinggal sementara; di pondok-pondok kecil, dan didirikan disekeliling masjid, surau atau madrasah di mana mereka menceduk ilmu. Di sinilah tempat mereka diasuh dan dididik sambil dapat melihat secara yang lebih dekat peribadi guru yang menjadi sumber pembentukan akhlak mereka.

Keempat; manhaj atau kurikulum pendidikan adalah bersifat dan seimbang di mana segala ilmu yang dipelajari adalah berpaksi kepada aqidah yang benar yang berteraskan tauhid (keesaan Allah yang Maha Sempurna) dalam ertikata semua ilmu pengetahuan yang dipelajari adalah merupakan huraian dan gambaran kepada aqidah yang benar. Kesepaduan itu juga menjadi teras kepada proses pendidikan dan keilmuan yang bertugas untuk menimbangi ketiga-tiga potensi kemanusiaan: intelek (aqliah), fizikal (jasmaniah) serta emosi dan kerohanian. Inilah manhaj yang berjaya melahirkan manusia dengan keinsanan yang wajar, insan soleh yang mempunyai wibawa dalam pengurusan dan taqwa dalam pengurusan, suatu bentuk insan yang pernah dijanjikan kepertuanannya di dalam al-QuranulKarim surah al-Anbiya’ayat 105:

Ertinya: ” …..bahawa bumi ini diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh”.

Ternyata, kesan dari manhaj atau kurikulum ini, lahir penerus khalifah yang dijanjikan,oleh itu di dalam sejarah kekuasaan Islam di sepanjang 13 abad yang lalu, meliputi hampir tiga suku dunia bermula dari Semenanjung Arab sampai Afrika, Andalusia dan Eropah barat di sebelah barat dan ke Per­sia, India dan China di sebelah timur. Di Nusantara sendiri malah di seluruh Asia Tenggara, sebagai bukti, telah lahir rangkaian kerajaan yang kaya dengan peradaban yang tinggi dan disegani semenjak kedatangan Islam dan sistem pendidikan yang dibawa bersama-sama dengannya awal abad ketiga belas masihi. Malah di rantau ini juga terdapat satu fenomena telah berjaya menjadi benteng pertahanan terakhir bagi umat Islam di kepulauan Melayu dalam menghadapi cabaran dan serangan besar-besaran dari barat yang baru bangun di atas keruntuhan empayar Islam yang terakhir untuk mengayang habis-habisan kekuatan Islam dimana-mana saja. Dalam suasana yang sedang tercabar itu, yang tinggal kepada umat Islam di rantau ini, termasuk Kedah, hanyalah pondok-pondok tempat umat Islam mendapat kekuatan semula untuk menangkis pelbagai serangan khususnya serangan fikiran Barat ke atas masyarakat Islam. Hasil dari ketahanan sistem ini muncul tokoh-tokoh tanah air yang terdiri daripada ulama’ yang mendapat pendidikan di pondok, bangun untuk mengembeling tenaga masyarakat kearah cita-cita kemerdekaan tanahair dari belenggu penjajahan pada ketika itu. Al-marhum Tuan Guru Haji Hussin Cik Dol adalah diantara tokoh yang boleh dikemukakan sebagai contoh. Sebelum adanya parti politik di Kedah beliaulah tokoh yang paling ketara mengambil peranan meniupkan jiwa kesedaran berpolitik menerusi kepimpinannya di dalam Kesatuan Melayu Kedah pada ketika itu. malah di bawah riayah Kesatuan Melayu Kedah yang dipimpin oleh beliau dimana turut terlibat di dalam barisan pemudanya, Doktor Mahathir Muhammad , maka perarakan dan perhimpunan menentang Malayan Union pada 19 Januari 1946 itu berlangsung.

Kelima; biah atau alam lingkung yang mensekitari tempat pengajian adalah merupakan biah yang bersih dan sejahtera oleh keterpisahan dari pengaruh yang boleh menghancurkan. Realitinya terdapat di sekitar masjid Annabawi, tidak seperti yang terdapat di Makkah sebelum hijrah nabi s.a.w ke Madinah. Suasana jahiliah yang begitu menebal di Makkah pada ketika itu tidak dapat memberi kesuburan kepada pertumbuhan dakwah dan pendidikan Islam di peringkat awal. Namun tidak dapat dinafikan bahawa suasana tegang yang dialami di Makkah adalah sangat berguna untuk membangun sakhsiah-sakhsiah unggul yang tahan lasak sebagai teras kepada perjuangan diperingkat awal yang penuh dengan cabaran itu. Justeru itu demi untuk melahirkan sebuah institusi pondok yang bertanggungjawab melahirkan insan berwibawa yang bertaqwa haruslah institusi ini dilingkungi oleh persekitaran yang bersih. Para ulama’ di zaman yang lalu, ketika membangunkan sebuah institusi pengajian pondok, lebih gemar memilih tempat-tempat yang belum diterokai orang atau mencari tempat di mana masyarakatnya sedang berhajat kepada pimpinan ulama’.

Keenam, institusi pendidikan Islam didukung sepenuhnya oleh masyarakat walaupun tidak dapat dinafikan adanya bantuan dari pihak pemerintah. Dalam konteks Tanah Melayu (termasuk Kedah) yang sedang berhadapan dengan penjajahan dan pemerintahan sekular, masyarakat merasa bertanggungjawab untuk mendukung institusi ini sepenuhnya demi untuk melahirkan ulama’-ulama’ yang akan memimpin mereka terutamanya dalam bidang  agama. Kelahiran seorang ulama’ dalam konteks ini adalah merupakan suatu kefardhuan yang terbeban keatas pundak semua individu dalam sebuah masyarakat.

ASPEK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Inilah sistem pendidikan yang pernah menempa kejayaan yang gilang-gemilang di zaman kekuasaan Islam di masa yang lampau dan menjadi benteng pertahanan terakhir di dalam zaman kemundurannya. Keberkesanan pendidikan Islam yang turut didukung oleh sistem pondok, dengan ciri-ciri utamanya tadi, telah meletakkan negeri Kedah sebagai pusat keilmuan disamping Kelantan dan Terengganu. Kemunculan cendekiawan terbilang dan tokoh perjuangan dalam gerakan kebangsaan dan Islam sebelum kemerdekaan banyak yang terasuh di pondok dinegeri Kedah. Antara tokoh-tokoh yang dapat diketengahkan sebagai contoh ialah al-marhum Dr.Burhanuddin Helmi yang pernah menempuh pengajian di pondok Pulau Pisang di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Soleh b. Haji Ishak. Semua ciri-ciri utama pendidikan Islam yang memberi kesan positif dalam pembinaan insan yang seimbang dan wajar itu adalah menceriakan suatu proses pembinaan khalifah (pimpinan) seperti yang diisyaratkan di dalam al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 31 hingga ayat 38. Proses pembinaan khalifah seperti yang ditunjuk adalah bermula dari titik tolak la’litn memberi ilmu yang sebenar kepada Adam a.s.:

Ertinya: ” dan Allah ajarkan kepada Adam (hakikat-hakikat) segala ilmu.  al-Baqarah : 31

Proses itu berjalan terus ketahap tadrib (memberi latihan sang murid terbiasa dengan disiplin hidup yang teratur yang kemudiannya disusul dengan ta’dib (proses pengadaban) dan irsyad(nasihat dan tunjuk ajar).

Dalam proses ta’lim (memberi ilmu) sang murid akan didahulukan dengan ilmu-ilmu asas (fardhu ‘ain) bagi orang-orang yang mula-mula belajar kemudian dengan ilmu-ilmu fardhu kifayah dan seterusnya ilmu-ilmu alat yang melibatkan bahasa dan kesusasteraan Arab untuk memudahkan memahami al-Quran terutamanya dan teks-teks Arab yang lain. Di dalam bidang aqidah para murid akan diketengahkann dengan teks-teks yang paling tinggi seperti Syarh ‘ul-Hudhudi, Kitab ‘ul-Luma’i dan seterusnya. Semua kitab-kitab yang besar dalam bidang aqidah bukan hanya sekadar membicarakan pegangan dan fikiran Islam dalam ketuhanan dan keimanan malah turut menampilkan pandangan-pandangan dan fikiran lain yang bertentangan sambil membuat penangkisan yang berkesan dengan menggunakan ilmu manthiq (lojika) dan falsafah yang sebelumnya telah digunakan oleh musuh sebagai senjata. Demikian halnya dengan bidang-bidang yang lain, para murid akan dibawa dari tahap yang rendah menuju ketahap yang tinggi dalam memahami semua cabang fiqh, tauhid, akhlak, tafsir dan yang berkaitan dengannya, hadith dan segala yang berkaitan dengannya dan seterusnya beberapa matapelajaran asing seperti manthiq (lojika) yang telah digilap semula dalam proses islamisasi ilmu di zaman yang lampau.

PENDEKATAN DAN HARAPAN MENUJU PERUBAHAN

Pengajian pada ketika ini tidaklah dinilai dari sudut berapa lama sang murid berada di tempat pengajian atau dalam kelas berapa ia berada tetapi sebaliknya dinilai berdasarkan kepada berapa buah kitab yang sudah habis dipelajari dari kulit ke kulit serta penguasaan sang murid terhadap isi kitab yang dipelajarinya. Kerana pihak yang benar-benar menilai kualiti dan kemampuan sang murid bukanlah semata-mata guru yang mengajar tetapi lebih dari itu ialah masyarakat yang sedang dahaga menanti kepimpinan sang murid yang bakal pulang membawa wibawanya ketengah-tengah masyarakat nanti.

Dalam pertengahan abad yang kedua puluh ini terlihat sebahagian dari institusi-institusi ini bertukar corak kepada sekolah agama rakyat dengan menggunakan kelas-kelas sebagai sistem penilaian tetapi masih mengekalkan bentuk pendidikan tradisional yang terikat oleh suasana” pemondokan” dalam kehidupan harian para murid.

Sistem baru yang melintasi pendidikan agama Islam dalam sejarah pendidikan di Kedah turut menangani perubahan positif di satu sudut dan negatif di satu sudut yang lain. Anak-anak didik  yang telah diasuh dengan teks-teks baru yang lebih mudah itu akan lebih mudah pula dapat mendalami ilmu pengetahuan namun disebaliknya akan berhadapan dengan kesulitan ketika merujuk teks-teks lama yang kaya dengan khazanah persoalan-persoalan yang telah diputuskan (ijmak) oleh ulama’-ulama’ silam. Walaupun kesan dari sistem baru ini banyak memberi kesempatan kepada golongan moden berinteraksi dengan golongan lain menerusi bahasa Arab yang dipelajarinya namun di dalam beberapa hal yang lain terlihat juga di sana sini kedangkalan tanggapan dengan persoalan-persoalan yang telah pun dihadamkan oleh generasi ulama’ di zaman lampau.

Walaupun demikian suasana negatif yang melintasi sejarah pendidikan Islam di negeri Kedah, termasuk negeri-negeri Tanah Melayu tidaklah sehebat apa yang berlaku selepas kemerdekaan tanahair tercapai. Sistem pendidikan negara, dalam apa hal sekalipun, ketika kemerdekaan tercapai mesti mengambil kira semua keadaan yang sedang berlaku di tanahair. Turut menjadi sasaran kepada perkiraan ini ialah sekolah-sekolah agama rakyat dan pondok-pondok. Pelbagai jenis bantuan telah dihulurkan kepada institusi pendidikan rakyat (sekolah-sekolah agama rakyat dan pondok-pondok yang dikategorikan sebagai positif di mata perhitungan pihak berwajib) agar ianya dapat ditangani di satu ketika nanti supaya sesuai dengan dasar pendidikan kebangsaan. Belum pun berakhir dekad enam puluhan didapati sebahagian besar dari institusi pendidikan rakyat yang terlibat dengan bantuan telah menerima dasar pendidikan negara dengan melaksanakan sistem pelajaran kebangsaan di samping mengekalkan sistem pembelajaran yang sudah ada secara berasingan terutamanya oleh sekolah-sekolah agama rakyat yang agak mampan. Turut terlibat dengan perubahan sistem itu ialah Maktab Mahmud yang berkedudukan sebagai Sekolah Agama Kerajaan Negeri.

KESAN PERUBAHAN

Kesan dari perubahan itu timbul beberapa hal yang negatif yang turut menyulitkan perkembangan pendidikan Islam secara umum dan perkembangan pendidikan pondok secara khusus, termasuk apa yang sedang berjalan di Kedah. Antara hal-hal yang dianggap negatif itu – antara lain – ialah;

Pertama; timbul dilema dalam fikiran dan sikap para penuntut . Ini disebabkan wujudnya pertentangan nilai antara dua aliran matapelajaran agama seperti Fiqh, Tauhid, Akhlak dan seumpamanya telah membawa tanggapan bahawa yang layak diberi taraf “ilmu” hanyalah matapelajaran-matapelajaran kebangsaan itu sahaja. Sedangkan apa yang ada di dalam hakikat, bahawa matapelajaran-matapelajaran agama adalah terlebih dulu dalam sejarah keilmuan mencapai tahap akademik serta lebih terjamin kebenarannya. Ini ialah kerana segala macam ilmu pengetahuan agama adalah berdiri di atas tiga dasar yang kukuh; tanggapan yang putus, menepati kenyataan dan didasarkan kepada dalil. Pertentangan nilai yang berlaku di antara kedua-dua aliran yang disebutkan tadi dapatlah dilihat, sebagai contoh apa yang berlaku di antara matapelajaran ekonomi; di mana satu pihak, Fiqh, menentang riba dan satu pihak lagi, Ekonomi, mendukungnya. Demikianlah hal-hal yang seumpama itu berlaku di dalam beberapa matapelajaran yang lain diantara kedua belah pihak.

Kedua; timbul rasa rendah taraf matapelajaran agama yang disebabkan kurang nilai ekonominya jika dibandingkan dengan matapelajaran akademik. Hal ini berlaku ialah kerana tiap-tiap matapelajaran dalam aliran akademik adalah berdiri sendiri sedangkan semua matapelajaran aliran agama disatukan dalam satu kelompok ketika dibuat penilaian. Itupun tidak disyaratkan lulus. Kedudukannya tidak lebih dari kategori pinggiran seperti yang diberikan kepada matapelajaran lukisan. Turut memberi kesan yang serupa ialah layanan istimewa yang diperolehi oleh tenaga-tenaga pengajar dalam matapelajaran kebangsaan (aliran akademik) jika dibandingkan dengan guru-guru agama yang mengajar matapelajaran aliran agama.

Ketiga; berikutannya timbul rasa tawar hati kepada semua yang datang dari pondok; tuan guru-tuan guru,ustaz-ustaznya, penuntut-penuntutnya sampai kepada sistem pembelajaran yang dianggap sudah ketinggalan zaman.

Ekoran dari beberapa kesan negatif yang menimpa sistem pondok inilah maka timbul beberapa kepincangan di sana sini di dalam masyarakat Islam di tanahair terutama di Kedah. Ini ialah kerana disebabkan masyarakat mengalami kehilangan sebahagian besar dari tenaga kepimpinann yang mampu memperarahkan tujuan hidup masyarakat. Kehilangan ini adalah berpunca dari kemerosotan bilangan institusi pendidikan pondok yang bertanggungjawab melahirkan kepimpinan yang berwibawa serta punya arah tujuan yang sebenar. Kesan dari rasa kehilangan ini timbullah semula kecenderungan untuk membangun kembali di atas formula dan kaedah yang lama yang telah diasaskan sekian lama itu. Di sana sini berbagai lapisan masyarakat merasa terpanggil untuk turut terlibat dalam proses pembangunan semula ini. Fenomena yang memperlihatkan kesedaran dan rasa keterpanggilan itu dapatlah dibahagikan seperti berikut.

Pertama, wujudnya berbagai-bagai seminar pendidikan Islam yang dianjurkan oleh berbagai-bagai wadah Islam semenjak awal dekad tujuh puluhan yang meminta pihak yang berwajib melihat dan meneliti semula dasar pendidikan negara. Malah beberapa memorandum pendidikan disajikan sebagai cadangan. Segala macam usaha yang berbentuk penggembelingan tenaga pemikiran berakhir dengan terbentuknya ” Falsafah Pendidikan Negara”. yang berlandaskan kepada cita-cita islamisasi ilmu dan pendidikan. Hal ini sekurang-kurangnya dapat mengembalikan sebahagian dari apa yang telah diperjuangkan oleh sistem pondok yang sangat bernilai ini.

Kedua, timbul berbagai-bagai usaha untuk mengembalikan sistem pondok dalam wajahnya yang lama di samping mencari pengukuhan terhadap institusi pondok yang masih mampu berjalan di beberapa buah tempat di negeri Kedah ini.

 

Ketiga, timbul kecenderungan yang sangat tinggi di kalangan masyarakat Islam untuk menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah beraliran agama kerana melihat jaminan yang lebih baik

Artikel & Berita Maahad