Syeikh Niamat Bin YusoffMENATAP PERIBADI PENGASAS MAAHAD

ALMARHUM SYEIKH NIAMAT YUSOFF

DERANG YANG PERMAI

Sebuah kampung yang bernama Derang tidak mugkin terkenal tanpa dikaitkan dengan seorang tokoh agama bernama Al-Fadhil Syeikh Niamat Bin Yusoff. Pertalian bukan kerana tempat kelahiran, tetapi disebabkan teras sebuah pusat pendidikan Islam yang pertama mewujudkan pengajian dari peringkat rendah ke peringkat tinggi berasrama penuh dibawah pimpinan beliau. Di sebalik keupayaan menerokai sekolah yang bernama Maahad Tarbiyah Islamiah ini, terungkap sejarah pengalaman dan keilmuan yang mendasari keperibadian dirinya. Beliau dilahirkan pada tanggal 22 Februari 1940 di Kepala Batas, Pulau Pinang, Sebuah daerah yang ketika itu terkenal dengan sekolah-sekolah yang masyhur di Nusantara.

Inilah kelahiran anak kedua dari empat orang anak hasil perkongsian hidup Tuan Guru Syeikh Yusof Bin Said dengan Che’ Tah Binti Abdul Hamid seorang tokoh yang disegani kerana pengalaman dan keterlibatan dalam masyarakat dalam membantu menerajui pusat pendidikan pondok di beberapa daerah dalam negeri Kedah ketika itu. Manakala anak menantu semuanya mewarisi usaha beliau di bidang kerjaya yang sama.

Kehidupan Tuan Guru Syeikh Yusof Bin Said amat sederhana. Ketika inilah Syeikh Niamat menerima pengalaman dari ayahnya yang sering berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Perpindahan yang pertama ialah dari Kepala Batas Seberang Perai ke Padang Sera Kedah, dimana beliau (Tuan Guru Syeikh Yusoff) telah mengasaskan sekolah agama An-Nahdhah Al-Hasanah Melele bersama seorang sahabat dari Indonesia bernama Ustaz Ali Bustamam. Kemudian beliau berpindah ke Kubur Panjang untuk menggantikan Tuan Guru Haji Husin Misri sebagai mudir di Pondok Madrasah At-Tarbiyah Al-Auladiyah. Akhirnya pada tahun 1952 beliau berpindah ke Alor Setar untuk mengembangkan ilmu pengetahuannya kepada masyarakat umum menerusi masjid-masjid, surau-surau dan parsatuan-persatuan. Suasana kehidupan yang sederhana dan perpindahan yang berlaku sewaktu inilah telah banyak membantu Syeikh Niamat dalam memahami aspek-aspek kemasyarakatan dan tanggungjawab diri.

Disamping pengalaman dan pendidikan informal yang diperolehi dari ayahnya, beliau juga mendapatkan pendidikan formal dari beberapa buah sekolah. Pertama, beliau dihantar belajar di sekolah Melayu pada tahun 1947 sehingga 1948 sehingga darjah dua, kemudian  menuntut di Madrasah At-Tarbiyah Al-Auladiyah, Kubur Panjang sehingga darjah tiga pada tahun 1952. Beliau kemudian mendapat kesempatan melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud Alor Setar dan lulus Syahadah Nihaiyah(menengah) di Sekolah tersebut pada tahun 1960.

Laluan pengajian diselarikan dengan latihan mengajar yang dipertanggungjawabkan oleh ayah beliau. Walaupun dalam usianya yang terlalu muda, beliau telah menimba pengalaman menjadi guru Al-Quran dan tajwid di rumah-rumah dan di surau-surau sejak tahun 1954 sehingga 1960 ketika usia baru menjangkau umur 14 tahun. Kemudian beliau telah berkesempatan mengajar bahasa arab di beberapa buah sekolah agama rakyat di negeri Kedah pada tahun 1960 sehingga 1964. Sebelum berangkat ke Mesir, beliaujuga telah sempat menjadi guru agama dan guru bahasa kebangsaan di sebuah sekolah swasta Darul Aman English School, Alor Setar dan di kelas khas Maktab Mahmud.

PENULISAN

Di samping itu, beliau juga memiliki minat yang mendalam di bidang penulisan, sejak usianya 17 tahun lagi tulisan-tulisan beliau telah termuat di dalam pelbagai majalah dan akhbar yang ringan. Mulai tahun 1958 tulisan-tulisan beliau telah mula tersiar dalam majalah Mastika yang dianggap paling popular ketika itu. Dari tahun 1957 hingga 1960 sahaja, beliau telah menghasilkan 50 buah sajak, 5 buah cerpen dan 2 buah cerpen terjemahan, beberapa artikel tentang sejarah dan 2 buah drama. Di saat-saat inilah beliau terlibat dengan Badan Seni Seri Budaya Kedah sebagai Ahli Jawatankuasa pada tahun 1963/1964. Selepas tahun 1964 beliau lebih berkecenderungan menulis artikel-artikel yang menyentuh persoalan agama, falsafah, sejarah dan pendidikan. Manakala selepas tahun 1974 ketika arus kebangkitan Islam melanda, tulisan yang dihasilkan beliau lebih bercorak dakwah dan tarbiyah sehinggalah ke saaat terakhir kehidupan beliau.

PERKAHWINAN & KELUARGA

Beliau mendirikan rumahtangga pada tahun 1961 dengan Puan Khadijah Binti Othman dan dikurniakan 14 orang anak (8 orang lelaki dan 6 orang perempuan) dan Puan Engku Faizah Engku Mohsin pada November 1990 dan dikurniakan seorang anak lelaki. Sebelas orang daripada anak-anak beliau telah berumahtangga sementara 4 orang masih bersekolah.

MELANJUTKAN PELAJARAN

Pada tahun 1964 beliau telah berangkat melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir dengan dokongan dan sokongan masyarakat. Kemiskinan yang melatari kehidupan beliau dan keluarganya adalah satu-satunya sebab yang mendorong beliau terpaksa merayu belas kepada masyarakat. Dengan bekalan yang sangat terbatas beliau telah berangkat ke Mesir dengan menaiki sebuah kapal laut dari Singapura dengan meninggalkan seorang isteri dan seorang putera yang masih kecil bernama Muhammad Naim yang pada masa itu baru berusia 10 bulan.

Dugaan kedua mengiringi beliau apabila sampai ke Singapura, perjalanan beliau tergendala oleh peristiwa peperangan kaum yang sedang berlaku di sana pada waktu itu. Akhirnya, setelah dua hari terkepung di rumah sahabatnya, En. Rahman Bee, perjalanan beliau dapat diteruskan sehingga pada tanggal 16 Oktober 1964 beliau tiba dengan selamat di Kaherah. Beliau mendaftarkan diri dalam pengajian di bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar.

Untuk membiayai keperluan pengajian, beliau juga terpaksa bekerja sambilan sebagai pengedar buku-buku dan kitab-kitab agama ke tanah air. Beliau adalah seangkatan dengan Dato’ Syeikh Yusof Haji Ismail, bekas Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah, dan almarhum Al-Fadhil Ustaz Fadhil Muhammad Noor, mantan Presiden PAS. Semasa di Kaherah, beliau turut terlibat di dalam mengendalikan Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu ( PMRAB ) sebagai anggota badan pengurus. Antara tahun 1967 hingga 1968 hakikat pahit getir dan laluan yang serba tercabar akhirnya membawa natijah yang amat bermakna. Tepat pada tanggal 18 Oktober 1968 beliau telah kembali ke tanah air dengan segulung ijazah di bidang usuluddin dari Universiti Al-Azhar.

KETERLIBATAN DENGAN MASYARAKAT

Setelah kembali ke tanah air nama beliau mula terserlah di mata masyarakat kerana penglibatan beliau dalam kerjaya pendidikan Islam disamping keterlibatan beliau dalam wadah-wadah Islam dan gerakan sosial. Beliau mula terlibat sebagai Penolong Setiausaha Persatuan Mahasiswa Timur Tengah Bahagian Negeri Kedah pada tahun 1970. Dalam masa yang sama, beliau juga terlibat dalam Persatuan Kebajikan Islam (PERKIM) Bahagian Negeri Kedah sebagai Ketua Biro Pendidikan.

Beliau juga adalah diantara peribadi yang bertanggungjawab mengasaskan Angkatan Belia Islam (ABIM) cawangan Negeri Kedah pada tahun 1972. Penubuhan cawangan ini merupakan diantara yang pertama ditubuhkan setelah diasaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan sahabat-sahabatnya di Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Beliau menjawat jawatan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Kedah yang pertama setelah diasaskan. Di peringkat ABIM pusat, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Syuro yang merupakan induk kepada pertubuhan tersebut. Namun, atas alasan mahu menumpukan perhatian terhadap proses penubuhan sebuah sekolah agama, maka beliau telah mengundurkan diri sebagai Yang Di-Pertua ABIM Kedah pada tahun 1978. Walaupun begitu, disebabkan kepimpinan beliau masih lagi diperlukan, maka jawatannya dalam Exco ABIM negeri Kedah masih lagi dikekalkan sebagai Naib Yang Di-Pertua sehinggalah menjelang tahun 1989. Inilah wadah yang dipilih olehnya untuk berperanan di dalam masyarakat dalam bidang dakwah dan tarbiyah.

Pada awal tahun 70-an ini juga beliau terlibat secara aktif dalam Persatuan Ulama’ Kedah. Satu persatuan yang menjadi tunggak aspirasi seluruh ulama’ Negeri Kedah sejak ia ditubuhkan pada tahun 1948. beliau menjawat jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa dari tahun 1971 hingga 1987. kemudian dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Ulama’ Kedah sejak dari tahun 1987 hingga ke akhir hayat beliau.

Pada akhir 90an beliau mula melibatkan diri secara serius dengan parti politik iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan menjawat jawatan sebagai Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Kedah serta Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan Pokok Sena.

Beliau serta beberapa orang rakan telah mengasaskan Nadwah Persuratan Islam Malaysia (NAFIS) satu wadah dalam mengumpul serta membangunkan penulisan-penulisan bercorak Islam.

Penglibatan beliau di arena pertubuhan Islam memberi peluang untuknya bukan sahaja melawat ke seluruh pelusuk tanah air, malah ke beberapa buah negara luar. Diantara lawatan rasmi beliau ialah ke Amerika Syarikat pada tahun 1983, Arab Saudi pada tahun 1983, Indonesia pada tahun 1985, Kuwait dan Mesir pada tahun 1988, Pakistan dan India pada tahun 1987, ke United Kingdom pada tahun 1989 dan 1990, ke Sudan yang dilawatinya pada bulan September 1990, dan beberapa buah negara Timur Tengah serta di Eropah pada awal hingga akhir 90 an, yang mana melalui lawatan inilah beliau banyak menimba pengalaman untuk melanjutkan usaha ke arah melangsungkan pendidikan yang beliau pelopori itu.

KERJAYA

Di bidang pendidikan beliau telah diterima menjadi guru penolong di Maktab Mahmud, Alor Setar sejak dari tahun 1969. Pada tahun 1972 hingga  tahun 1978 pula, beliau telah dipilih menjadi Pensyarah dalam Darjah Latihan Perguruan Guru-guru Agama Kedah. Tahun 1981 merupakan tahun yang merubah suasana kehidupannya dalam kerjayanya. Pada tanggal 5 Jun 1982 dengan rasminya meletakkan jawatan sebagai guru di Maktab Mahmud setelah berkhidmat selama 12 tahun. Perletakan jawatan yang didorong atas kesedaran tentang keperluan menubuhkan sebuah sekolah agama yang mendokong aspek keilmuan Islam tradisional yang mampu berinteraksi dengan suasana semasa sebagai teras pendidikan generasi akan datang.

MAAHAD TARBIAH ISLAMIYAH

Lantas kerana itu pada awal tahun 1980 tertubuhnya Maahad Tarbiyah Islamiah di bawah pimpinan dan ilham dari beliau. Penerokaan ini merupakan yang pertama di Malaysia memandangkan pengajian bermula dari peringkat rendah berasrama penuh. Berbanding dengan skolah-sekolah agama yang lain, pengajian hanya dimulakan di peringkat menengah rendah.

Penerokaan ini oleh beliau adalah satu perkara yang di luar dugaan. Ketika mana keputusan ini dibuat, beliau sedang berkhidmat di bawah payung Maktab Mahmud dengan skim gaji terakhir RM 2000 sebulan, tetapi dengan kekuatan yang ada pada dirinya, langkah ke hutan belantara bernama Derang, atas nama tanggungjawab survival pendidikan bangsa, dengan penuh keyakinan yang lebih kuat dari segala halangan yang merintanginya.  Antara halangan-halangan tersebut  adalah saraan hidup yang belum menentu, suara-suara dari rakan gaulan yang tidak pernah merasa yakin dengan perjuangannya tanpa modal dan wang ringgit serta suasana sekitar yang belum lagi dapat menerima perjuangan di desa belantara.

Di sinilah Ustaz Niamat mula menyelami dan menghayati segala pengalaman yang pernah diperolehinya ketika bersama ayahanda beliau sebelum ini. Kewibawaan yang bukan hanya pada kata-kata tetapi sikap dan pendekatan yang membina. Pembinaan Maahad adalah satu lagenda kerana sekian dekad penerokaan hutan belantara menjadi kampung dan bandar tidak berlaku satu waktu. Syeikh Niamat adalah seorang peribadi yang mengembalikan tradisi keilmuan Islam yang bermula di hutan belantara sehingga terbentuknya kampung dan bandar yang diteroka melalui peranan ulama’.

Setelah Maahad ditubuhkan, bermulalah peringkat kehadiran tenaga-tenaga penggerak secara sukarela. Diperingkat ini beliau dengan kewibawaannya memikul tugas menyatukan tenaga-tenaga petugas yang hadir dari pelbagai latarbelakang hidup dan bidang pendidikan kearah satu kesatuan dalam menjayakan cita-cita pendidikan Islam. Petugas-petugas ini terdiri dari pelbagai latarbelakang samada dari bidang agama, teknokrat, profesional dan sebagainya. Di sinilah bermulanya cogan kata Maahad “Gandingan diantara keilmuan Islam yang mantap dan teknologi moden yang bermanfaat” sebagai halatuju kepada pembentukan Maahad.

Langkah demi langkah Maahad bersama Syeikh Niamat dan pendokong yang di bawah pimpinan beliau telah dapat merealisasikan sebuah sekolah yang pertama di Malaysia menyediakan pendidikan Islam peringkat rendah aliran arab secara berasrama penuh.

Kemampuan ini lebih unik apabila tarikan petugas pendokong baru maahad bukan didasarkan kepada janji-janji “gaji lumayan” malah tenaga Maahad terpaksa menempuh kesusahan bersama beliau serta pengorbanan ketika mana masyarakat belum memahami hakikat bahawa perlaksanaan pusat pendidikan Islam adalah tanggungjawab seluruh umat Islam, samada tanggungjawab berbentuk moral atau material.

Oleh kerana itu, walaupun beliau pada awalnya tidak memiliki modal yang besar, tanpa tenaga guru yang sanggup menyertainya, tanpa memiliki tanah dan kawasan untuk dibangunkan serta peralatan mengajar yang lengkap secara kasarnya tidak mungkin dapat difikirkan pengwujudan sebuah sekolah agama persendirian tanpa bantuan dari kerajaan. Namun inilah hakikat yang memulakan penubuhan Maahad di bawah teraju beliau. Segala kepeluan tersebut menyusul di belakangnya. Tidak hairanlah kebaktian di bidang pendidikan telah mendapat perhatian dari pihak Kerajaan Negeri Kedah sehingga beliau diberi penghormatan menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Darulaman pada tahun 1989.

KEMBALINYA SEBUTIR MUTIARA

Beliau kembali kerahmatullah tepat jam 10.20 pagi hari rabu tanggal 13 Rejab 1424 bersamaan 10 September 2003 di Hospital Alor Setar disisi kedua-dua isteri serta anak-anak beliau. Pada waktu-waktu akhir beliau dijemput Allah, beliau sedang mengusahakan ke arah memajukan lagi Maahad ini dengan pembentukan Perancangan Fasa Kedua Pembangunan Maahad serta beberapa buah puisi yang amat menyusuk kalbu.

MENATAP PERIBADI  SYEIKHUL MAAHAD KEDUA (2003 – 2009)

Al-MARHUM SYEIKH ABU BAKAR BIN AWANG AL-BAGHDADI

Latarbelakang

Beliau dilahirkan pada tanggal 18 Ogos 1926 dikampung bohor Mali, Kayang Perlis. Syeikh Abu Abu Bakar Awang diasuh dan dididik dalam persekitaran ilmu yang baik. Beliau mempunyai hubungan darah dengan tokoh ulamak negara, Dato’ Dr Haron Din. Daripada persekitaran yang soleh ini, peribadi dan kewibawaan beliau telah berjaya digilap sehingga akhir hayatnya beliau dikenali sebagai seorang tokoh ulama dalam bidang muamalat semasa.

Rehlah Ilmu

Beliau memulakan pendidikannya di sekolah melayu Kayang sehingga darjah empat dari tahun 1932 – 1936. Kemudian pada tahun 1937 beliau melanjutkan pelajaran ke Madrasah Diniah Kampung Sena Kangar Perlis. Pada tahun 1943 beliau berhijrah ke Kedah dan melanjutkan pengajiannya di Madrasah At-Taufiqiyyah Padang Lumut sehingga tamat ke peringkat 4 thanawi. Beliau adalah antara pelajar awal di sekolah tersebut yang kemudiannya lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya. Bagi sesiapa yang pernah menuntut dengan beliau, kisah beliau mengayuh basikal Padang Lumat – Arau ketika menuntut di sini pasti sering diceritakan menunjukkan betapa segala perit dan susah beliau dalam menuntut ilmu akhirnya memberi pulangan yang yang lumayan.

Setelah itu beliau buat pertama kali memulakan tugas sebagai guru di sekolah tersebut selama 2 tahun.kemudian akhir tahun 1949 beliau telah berangkat melanjutkan pelajaran ke Madrasah Al-Baqiyah Al-Solihat Vellor India selama setahun. Selepas itu melanjutkan pula ke Orental Kolej, Penjaba University Lahur, Pakistan dalam jurusan bahasa arab dan pegajian islam selama setahun dengan memperolehi sijil ‘Mawlawi- Moulvi Alim’ (High Frofiency In Arabic).

Beliau kemudian berangkat pula ke Karachi pada tahun 1952 untuk mengikuti pengajian di Modern Arabic Kolej selama setahun dengan memperolehi sijil syahadah ‘aliyah yang setaraf dengan ijazah pertama. Ketika ini juga beliau telah di pilih mengikuti pengajian di Universiti Baghdad di bawah biasiswa kerajaan Iraq. Beliau mengikuti pengajian di kuliah syari’ah dalam jurusan Al-Ulum Al-Arabiah Wal Islamiah selama lima tahun dari tahun 1952 – 1957. Empat tahun kemudian datang pula bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri (Almarhum) dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Hashim Jasin belajar di tempat sama. Setelah tamat dengan mendapat ijazah pertama (Lessons Fi Al-Ulum Al-Arabiah Wa Al-Islamiyah) barulah beliau kembali ke tanah air pada tahun 1958.

Jasa Dalam Dunia Pendidikan

Beliau merupakan Syeikhul Maahad, Maahad Tarbiah Islamiah Derang bermula 2003 sehingga akhir hayatnya 2009. Sebelum itu, beliau adalah timbalan Syeikhul Maahad sepanjang hayat Syeikh Niamat Yusof.

Beliau pernah menjawat jawatan ketua bahagian agama di Maktab Mahmud Alor Setar Kedah dari tahun 1975 – 1982. Ketika ini beliau berkhidmat di Maktab Mahmud bersama-sama dua rakan baiknya, Al-Marhum Ustaz Fadhil Noor dan Al-Marhum Syeikh Niamat Yusof.

Beliau telah mengarang beberapa buah kitab terutamanya dalam bidang muamalat seperti kitabAl-Muamalatul Islamiyah yang sesuai dijadikan rujukan awam ketika ini.

Keterlibatan Bersama Masyarakat

Sebaik kembali dari Iraq pada tahun 1958, beliau yang berasal dari Perlis telah diamanahkan menjadi calon PAS dan bertanding dua kali di Dun Kayang, Perlis. Syeikh Abu Bakar juga pernah menjadi Timbalan Ketua Dewan Ulama Negeri Kedah dari tahun 1995 hingga 2000 di bawah Al-Marhum Ustaz Azahari Abdul Razak.

Disamping itu, penglibatan beliau yang serius dalam dunia keilmuwan islam telah membawa beliau untuk dipilih memimpin Persatuan Ulama Kedah sebagai Yang Di-Pertua bermula tahun 1987 sehingga 2009. Malah beliau wafat sebagai penasihat Persatuan Ulama Kedah.

Rehlah Bertemu Robb

Syeikh Abu Bakar Awang Al-Baghdadi menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi, 23 November 2009 di Hospital Sutanah Bahiyah, Alor Setar lantaran sakit tua pada usia yang melebih  83 tahun. Beliau meninggalkan empat cahayamata terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan. Jenazah beliau telah disolat dan dikebumikan di perkuburan Masjid Raudhatus-Solehin, Derang bersebelahan sahabat karibnya, Syeikh Niamat Yusof. Moga damailah Ruh dua ulama ini menuai hasil di alam yang kekal.

MENATAP PERIBADI  SYEIKH GHAZALI BIN HAJI ABDULLAH

SYEIKHUL MAAHAD KETIGA (2009 – KINI)

Seorang tokoh agama yang terkenal di Batu Hampar Pendang iaitu Haji Ghazali Bin Haji Abdullah dilahirkan pada 12 Mac 1943 di Batu Hampar. Sehingga sekarang beliau masih menjawat jawatan Imam Masjid Batu Hampar Pendang. Beliau adalah anak sulong daripada empat orang adik beradik hasil perkongsian hidup Haji Abdullah Bin Haji Ismail dengan Hajjah Rahmah Binti Haji Ibrahim. Beliau bertuah kerana dilahirkan dari sebuah keluarga ulama dan pemimpin masyarakat. Ayah beliau yang merupakan mantan Imam Masjid Kg. Huma Padang Hang pernah juga berkhidmat di pondok Langgar (Makarimul Akhlak) sebelum berkhidmat di Madrasatul Khairiah di Seberang Perai, Pulau Pinang dan Madrasah Ibrahimiah Batu Hampar Pendang, Kedah.

PERKAHWINAN & KELUARGA

Tuan Syeikh  Ghazali mendirikan rumah tangga bersama seorang isteri bernama Soffiah Binti Hassan dan dikurniakan lima orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

KEMAHIRAN

Tuan Syeikh Ghazali juga merupakan insan yang berbakat. Beliau mahir dalam berpidato dan pernah mendapat Johan dalam pertandingan pidato sempena Pertandingan Bulan Bahasa semasa beliau menuntut di Maktab Mahmud. Selain itu antara bakat lain yang sangat terserlah pada diri beliau ialah bakat memasak. Antara masakan spesial beliau ialah Nasi Daging.

PENDIDIKAN AWAL

Beliau memulakan pengajian peringkat awal beliau di Sekolah Kebangsaan Pendang yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Umum Pendang sebelum berpindah ke Darul Ma’arif Wathaniah di Kepala Batas Seberang Perai, Pulau Pinang pada 1958 hingga 1963. Seterusnya beliau meneruskan lagi perjuangan sebagai penuntut beliau di Maktab Mahmud (Al Maahad Al Mahmud) Alor Setar, Kedah. Setelah itu pengajian beliau dilanjutkan lagi ke Akademi Pengajian Islam, Nilam Puri, Kelantan. Beliau dianugerakan Diploma Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia di Maktab Perguruan Pulau Pinang pada tahun 1973.

KERJAYA DENGAN KERAJAAN SEBAGAI GURU AGAMA

  • Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Marak Bachok Kelantan                 : 1968 – 1969
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Salor Pasir Mas Kelantan                          : 1969 – 1971
  • Sekolah Menengah Perempuan St. Geoge Geogetown, Pulau Pinang      : 1972
  • Sekolah Menengah Padang Serai Kulim, Kedah                                              : 1973 – 1975
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma di Alor Setar, Kedah       : 1975 – 1976
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang, Kedah                                          : 1977 – 1998

PERGERAKAN SOSIAL

Tuan Syeikh Ghazali terlibat secara langsung dengan ABIM sebagai Yang Dipertua  ABIM Pendang dan menjawat jawatan Yang Dipertua ABIM Negeri Kedah selama empat tahun. Selain itu, Tuan Syeikh Ghazali merupakan seorang daripada Ahli Jawatankuasa Penggubal Kurikulum Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) Abim Pusat dan pernah menyandang jawatan Pengarah TASKI Abim Negeri Kedah. Selain itu, beliau juga pernah terlibat dengan Badan Kebudayaan pada tahun 1964 hingga 1965 ketika berada di Maktab Mahmud bersama-sama dengan Dato Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah kini).

KERJAYA SEKARANG

Bermula daripada tahun 2009 beliau telah dilantik oleh Majlis Syuro Maahad Tarbiah Islamiah Derang sebagai Syeikhul Maahad yang ke tiga menggantikan Syeikh Abu Bakar Awang yang telah meninggal. Dalam masa yang sama, beliau turut menjawat jawatan Guru Besar Sekolah Rendah Agama Islah Pendang. Antara jawatan dan tugas lain yang sedang dipegang beliau adalah seperti Penasihat Persatuan Taman Asuhan al-Quran Zon Utara Malaysia, Ahli Jawatankuasa penggubal soalan pemeriksaan dan penemudugaan Tauliah Agama Jabatan Mufti Negeri Kedah, tenaga pengajar pelajaran al-Tasawuf di Pusat Dakwaf Alor Setar, Pengerusi Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Rendah Islam/Agama seluruh Negeri Kedah (Bahagian Pelajaran Jabatan Agama Negeri Kedah).