Maahad Tarbiah Islamiyah Derang yang ditubuhkan pada tahun 1980 adalah sebuah institusi pendidikan Islam yang berasaskan falsafah pendidikan Islam yang tulen. Kelahirannya adalah bertitik tolak dari kesedaran untuk mengembalikan nilai-nilai syakhsiah Islam ke dalam diri generasi hari ini, yang bakal mewarisi kedudukan umat Islam di masa akan datang.

Mula ditubuhkan oleh sekumpulan masyarakat yang terdiri daripada 40 orang pendokong pertama yang diketuai oleh Tuan Guru Syeikh Niamat Bin Yusoff atas tapak tanah waqaf seluas10 ekar. Masyarakat terus-menerus terlibat membangunkan Maahad di atas tapak yang kini seluas 27.5 ekar. Dalam usianya yang masih muda ini Maahad berusaha memenuhi matlamat membina “Al-Insanul Kami”l (Insan yang sempurna), yang mampu berinteraksi dengan baik terhadap alam dan Penciptanya.

Motif yang mendorong ke arah penubuhan Maahad ini antara lain ialah :-

  1. Kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat di tokok pula dengan berbagai-bagai bentuk keruntuhan moral yang disebabkan oleh kehilangan keperibadian Islam sebagai nilai hidup masyarakat.
  2. Faktor sejarah yang telah memperlihatkan kepada kita bagaimana umat Islam bangun dan berkembang ketika keperibadian Islam dan nilai hidupnya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dalam kehidupan umat, dan mereka pernah jatuh ketika keperibadian yang berharga itu ditolak walaupun pada ketika itu mereka dibaluti oleh kemewahan yang tidak ada tolok bandingnya dalam segala hal di dunia ini. Bukti yang jelas dapat dilihat dari fakta sejarah kejatuhan Baghdad di tangan Tartar.
  3. Faktor tradisi (Al-Qur’an dan As-Sunnah) yang dengan tegas menjelaskan bahawa jaminan pertolongan Allahdan keberkatannya adalah terletak di atas IMAN dan TAQWA yang dijadikan teras dalam kehidupan umat. Kenyataan ini antara lain dapat Al-Qur’an, surah Al A’raaf ayat 96 :- “Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi”
  4. Faktor sejarah tempatan juga telah membuktikan bahawa pengajian Islam Tradisional telah berjaya melahirkan para ‘Ulama yang berwibawa, pemimpin-pemimpin masyarakat dalam berbagai-bagai peringkat, tokoh-tokoh dalam berbagai bidang kehidupan, usahawan-usahawan, pekerja-pekerja mahir dan pekerja-pekerja biasa yang berjaya dalam kehidupan berdikari. Sedikit benar dari keluaran pusat-pusat pengajian ini menjadi sampah masyarakat. Institusi Pengajian Islam Tradisional dan para ‘Ulama serta keluarannya pernah diberijolokan sebagai benteng Aqidah dan tunggak keperibadian Islam dalam sejarah moden tempatan.

TUJUAN PENUBUHAN

Atas alasan mengembalikan semula warisan Pendidikan Islam dengan segala ciri-ciri keistimewaannya yanghampir lenyap itu, maka Maahad diusahakan kelahirannya demi untuk menunai tujuan berikut :-

  1. Untuk menjadi sebuah Pusat Pengajian dan Pendidikan Islam bagi semua peringkat umur dengan segala persediaan perbelajaran yang diizinkan demi untuk menyediakan masa depan yang lebih cerah, jelas dan terbuka.
  2. Untuk mengambil peranan dan tanggungjawab pusat-pusat Pengajian Islam Tradisional dengan segala ciri-ciri pendidikannya yang berharga di mana telah hilang atau ditelan masa.
  3. Untuk membantu atau meringankan bebanan pihak pemerintah dalam menyelesaikan beberapa masalah kepincangan masyarakat yang dihasilkan oleh kepincangan pendidikan itu sendiri.
  4. Menjadi “Pusat Latihan Keperibadian Islam” yang menyediakan berbagai-bagai bentuk latihan yang positif bagi manjamin pembentukan Insan yang bertanggungjawab.

MATLAMAT

Maahad Derang menerusi program pendidikan mempunyai cita-cita untuk mencapai matlamat berikut :-

  1. Melahirkan peribadi-peribadi yang sanggup memikul tanggungjawab sebagai ulama’ dan petugas-petugas dalam pelbagai urusan kehidupan keagamaan mengikut peringkat kemampuan masing-masing.
  2. Melahirkan peribadi-peribadi yang mampu menjalankan tugas-tugas harian secara berdikari sebagai
    peniaga, usahawan dan pekerja mahir yang memegang teguh dengan disiplin agama dalam pekerjaan serta tanggungjawab.