RSS
 

SELAMAT DATANG

04 Mar

 

 

 

HARAP MAAF. WEB INI SEDANG DALAM PROSES PENAMBAHBAIKAN.. SEGALA KESULITAN AMAT DIKESALI..

Selamat datang ke laman web Maahad Tarbiah Islamiah Derang (Maahad Derang) Pokok Sena Kedah Darul Aman. Laman web ini dikendalikan oleh Pustaka Maahad Derang.

PENDAFTARAN SESI 2012 TELAH DIBUKA

Borang pendaftaran pelajar baru untuk sesi pengajian 2012 boleh diambil bermula selepas cuti Eidul Fitri di Pejabat Pentadbiran Maahad pada waktu pejabat.

Tarikh akhir serahan borang ialah pada 15 Disember 2012.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi;

Ustaz Zul Azri Mohd Sani (Penolong Pendaftar Maahad)

04-7143643 (telefon/fax pejabat)

019-4054 068 (hp)

* Maklumat Yuran dan keperluan pelajar boleh dirujuk dalam ruang Yuran Pengajian dan Senarai Semak Keperluan Pelajar

 
 

PENGAJIAN KILAT ~ AL-HIKAM IBNI ATHOILLAH

09 Oct

   

Sekarang sedang berlangsung di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, satu program pengajian untuk umum yang dianjurkan oleh Qism A’li – Alim Jawi. Program tersebut ialah program Pengajian Kilat mengkhatamkan kitab Al-Hikam, Karya Al-Allamah Al-Imam Ibnu Athoillah As-Sakandariy. Majlis diisi oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam An-Nadwi Al-Banjari Al-Maliki, Timbalan Syeikhul Maahad MTI Derang.

Pengajian diadakan di Dewan Kuliah 1 Tafaqquh, bermula jam 9.30 pagi- 11.30 pagi setiap hari kecuali hari Jummat dan Sabtu. Ia akan berlangsung sehingga 13 Oktober 2011.

Majlis terbuka kepada umum. Justeru, Seluruh muslimin muslimat dijemput hadir.

 
 

MAJLIS KHATAM QURAN KALI KE-3 MARHALAH IBTIDAIAH (RENDAH)

02 Oct

Majlis Khatam Quran peringkat sekolah rendah (Marhalah Ibtidaiah) kali ke-3 telah berjalan lancar pada 29 September 2011 yang lepas di Dewan Ibtidaei . Majlis tersebut dirasmikan oleh Syeikh Rodhi Abdur Rahman, Mudir Maahad Tahfiz wal Qiraan Alor Setar.

 

BICARA MERDEKA SEORANG GURU TUA – DATO’ DR. SIDDIQ FADZIL

17 Sep

Maahad Tarbiah Islamiah Derang mengucapkan,
“Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan dengan memahami erti sebenar makna merdeka dan menghayati kehidupan perjuangan Pejuang Kemerdekaan yang tulen”.

BICARA MERDEKA SEORANG GURU TUA

Lima dasawarsa yang lalu
aku, anak desa yang dungu serba tak tahu
hanya ikut-ikutan melulu
memekik “Merdeka! Hidup Tunku!” bertalu-talu.

Hingga tiba ketika aku berani bertanya
ruh dan makna sepatah kata,
meminta bukti nyata sebuah cerita
“Merdeka”.

Kutadah segala madah
kuperah khazanah hikmah
kutemukan daulat karamah insaniyah
mulia perkasa dengan al-izzah.

Merdeka siapa cuma mengenyah penjajah
merdekaku meraih izzah
Deklarasi syahadah: La ilaaha illa Lllah
menyanggah berhala seribu wajah
mengenyah segala bedebah penjajah, penjarah, penjenayah.
Kubongkar pendaman fakta
Kubuka kitab pusaka
Terserlah deretan nama
Wira merdeka bukan Tunku sahaja
ramai yang mendahuluinya.

Mendadak aku bertanya
sejarah bikinan siapa?
Merdekakah kita,
julingkah mata sarjana
apabila tidak bersuara
tentang pahlawan tak dikenang
wira tak didendang?

Lima dasawarsa lamanya
banyak kata belum terkota
banyak lagi rupa tak seindah berita.

Bagi generasi yang semakin tak mengerti
kata merdeka bak mantra yang hilang sakti
dan mereka semakin tak peduli.

Jiwa merdeka sirna ditelan pesta
matilah rasa hilanglah peka
betapapun gegak gempitanya
pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Tetapi semerta terbelalak mata
bila setan korupsi menggoda,
“Mau duit ka? Mau duit ka? Mau duit ka?”

Gejala pesona yang kian menggila
menginjak takwa menganjak jiwa
merdeka dengan ketuhanan Yang Maha Esa
menjadi hamba kewangan yang “maha berkuasa”.

Pada Hari Merdeka yang ceria
kusimpan tangis di balik tawa
kupendam cemas di tengah pesta.
Akan terjualkah merdeka kita?

Hasil Nukilan:
Dato’ Dr. Siddiq Fadzil,
31 Ogos 2007

 
 

Selamat Menyambut Eidul Fitri

14 Sep

25 Ogos 2011 -

Maahad Tarbiah Islamiah Derang menagguhkan pengajiannya pada hari ini untuk memberi laluan kepada percutian sempena menyambut Eidul Fitri. Pengajian akan bermula semula pada 4 september 2011 iaitu pada hari ahad setelah 9 hari bercuti.

Sehubungan dengan cuti tersebut, pihak Thanawi Maahad hari ini dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar menganjurkan majlis wida’ guru dan para pelajar bertempat di Dewan Tafaqquh.

Majlis diisi dengan ucapan Tausiah dan amanat Mudir Am Syeikh Abdul Majid Abu Bakar, ucapan wakil guru oleh Ust Azfar Abdullah dan masing-masing seorang daripada wakil pelajar putera dan seorang puteri.

Majlis menjadi lebih bermakna dengan ucapan khas Ustaz Abul Khair Ayub, Mudir Thanawi yang merupakan wakil Maahad Tarbiah Islamiah Derang ke Gaza dengan ole-ole yang menceritakan pengalaman beliau ke Gaza bersama MAPIM melalui misi kemanusiaan yang disampaikan kepada penduduk Gaza baru-baru ini.

Semoga semua pesanan dan isi daripada program tersebut akan dihadham oleh semua guru dan pelajar untuk dijadikan panduan dalam mendepani cabaran yang dijangka lebih getir terhadap pendokong dakwah islam.

Maahad Tarbiah Islamiah Mengucapkan “Selamat Menyambut Syawal, TaqabbalaLLahu minna wa minkum” Kullu am wa antum bi khair..

 
 

Segeralah Mencari Maghfirah Kala Ramadhan Masih Berbaki

19 Aug

Dalam satu riwayat Nabi saw telah mengaminkan doa Jibril “ Barangsiapa yang bertemu Ramadhan tetapi dia tidak diampunkan dosanya, maka setelah dia mati dia akan masuk neraka lalu jauhlah dia dari rahmat Allah” [HR Ibnu Hibban, At-Thobrani, alBaihaqi dan Al-Hakim. kata Hakim: Baik isnadnya]

Nabi saw bersabda : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dalam Iman dan keikhlasan akan diampunlah segala dosanya yang telah lalu, dan sesiapa yang menghidupkan Lailatulqadar dalam keimanan dan keikhlasan akan diampunlah dosanya yang telah lalu” [HR Bukhari, Muslim]

Justeru, carilah pengampunan di dalam bulan yang sepatutnya Hamba Allah mendapat pengampunan dan maghfirah dari Tuhan yang maha Pengampun itu.

Sangat luar biasa bebalnya nafsu andai Ramadhan ini tidak bisa menebuskan diri kita dari Neraka, dan dosa-dosa kita tidak terampun sedangkan janji Allah dan Rasulnya itu bahawa Tuhan sangat pemurah dengan pengampunan, apatah lagi di saat-saat Ramadhan.

Muhammad saw bersabda “ Ramadhan sehingga Ramadhan, Jumaat ke Jumaat, dan solat ke solat menjadi pengkifarah dosa diantaranya selama mana menjauhi dosa-dosa besar” [HR Muslim]

Aisyah bertanya kepada Rasul saw, apakah yang seharusnya didoakan sekiranya bertemu lailatul qadar. Jawab Baginda saw “Ya Allah, sesungguhnya engkau maha pemaaf, sukakan pula kemaafan, maka maafkanlah aku” [ HR Tirmizi: sahih]

Nabi juga berdoa “ Aku berlindung dengan redho-Mu daripada kemurkaan-Mu, dan dengan pengampunan-Mu daripada pembalasan-Mu” [HR Muslim]

Firman Jalla wa A’la : “ Bersegeralah kalian mencari maghfirah (pengampunan) dan Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, disediakan maghfirah dan syurga itu untuk golongan muttaqin (orang-orang yang bertakwa)” [ surah Ali Imran :133]

Ayuh segeralah jadi manusia bertaqwa.

Wasiat penghulu kita Muhammad saw : “bertakwalah kamu ketika apa sekali pun, dan tutupilah kejahatan dengan kebajikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan tersebut dan berkakhlaklah dengan manusia akhlak yang baik” [HR Tirmizi : Hasan]

Ramadhan masih berbaki. Walaupun sesaat ia tetap saat yang paling berkat. Doa dan pengharapan di dalamnya tidak sama seperti selain Ramadhan. Maka manfaatkanlah setiap saat Ramadhan sehinggalah peluang saat terakhir. Moga jangan terjadi dari golongan yang rugi.

Syeikh Abdul Aziz bin Muhammad as-sarkhan berkata di dalam kitabnya Mukhalafat Ramadhan – Kesilapan dalam Ramadhan;

Manusia itu ada 5 jenis apabila bertemu Ramadhan:

1 – Orang yang soleh. Menunggu-nunggu Ramadhan. Apabila bertemu dengannya mereka  sambut dengan gembira dan mengambil faedah daripadanya semaksima mungkin. Lalu di bawa ke luar ramadhan. ~ ini adalah sebaik-baik golongan.

2 – Orang yang kedatangan ramadhan dan pemergiannya sama sahaja (tidak teransang mahu menambah amal) ~ Golongan yang rugi kerana berada dalam peluang tetapi tidak mengambil peluang.

3 – Orang yang Cuma kenal Allah pada bulan Ramadhan sahaja. Apabila selesai ramadhan dia kembali kepada tabiat jahatnya semula. ~ Imam Ahmad dan Fudhail mengatakan : Seburuk-buruk manusia mereka hanya kenal Allah cuma ketika ramadhan sahaja.

4 – Orang yang hanya puasa perut sahaja. Lain anggotanya tidak turut taat kepada Allah. ~ Nabi sebut bahawa ini golongan yang tidak dinilai sikit pun Oleh Allah puasanya dari makan minum [Riwayat Bukhari dan Abu Daud]

5 – Orang yang di dalam bulan Ramadhan pun tidak kenal dan taat kepada Allah, apatah lagi jika di luar Ramadhan. ~ Ini adalah sejahat-jahat jenis manusia, paling bahaya dan sangat terancam. Moga Allah lindungkan kita dari jenis ini.

Pesan Imam Al-Ghazali : “Hiduplah apa kehidupan yang kamu mahu, sesungguhnya engkau mati juga. Cintailah sesiapa pun yang kamu mahu, sesungguhnya engkau tetap berpisah dengannya juga. Buatlah apa kerja yang kamu mahu, sesungguhnya kamu tetap akan dibalas juga.” [Ayyuhal walad : wahai anakku]

Moga Ramadhan Ini menjadikan kita manusia yang lebih berani menghadapi kematian.

Artikel Asal : Bayu Senja

 
No Comments

Posted in Tazkirah

 

Ziarah Dua Ulama Syria Ke MTI Derang

16 Aug

Alhamdulillah, bersempena dengan Ramadhan yang berkat MTID diberkatkan lagi dengan kehadiran Syeikh Abdul Hadi Khursah dan Syeikh Firas Salu (syeikh daripada syeikh-syeikh Syria). Berkesempatan dengan kehadiran dua ulama Syria yang sedang dalam lawatan ilmu mereka ke Malaysia, pelajar dan warga Maahad dikurniakan izin untuk sedikit mengambil faedah daripada ilmu dan keberkatan mereka.

Antara isi yang dapat dikongsikan dalam tausiah yang disampaikan;

  1. Perlu ada Tazkiah (penyucian diri) sebelum menuntut ilmu ataupun selepasnya (berdasarkan 2 ayat al-Quran “lalu Allah menyucikan mereka lalu Allah member ilmu kepada mereka” dan doa nabi Ibrahim “mengajarkan mereka kitab lalu menyucikan mereka”), kerana tazkiah itu akan menjadikan ilmu diterima di sisi Allah. Sekiranya tidak ada tazkiah dalam menuntut ilmu nescaya ilmunya dibimbangi jauh dari panduan Allah swt.
  2. Dakwah Nabi di Mekah selama 13 tahun, kebanyakannya diterima oleh golongan muda. Pemuda merupakan tonggak dalam menentu masa depan dakwah. Golongan muda perlu kepada Suhbah (berdamping) dan dengan suhbah itulah Nabi Berjaya menyelamatkan generasi yang sangat terdedah kepada fitnah lalu menjadikan mereka asset kepada dakwah. Seperti Kisah Kahfi, mereka lari ke gua kerana menghindari fitnah. Maka pesanan syeikh kepada pelajar ; “inilah kahfi kamu. Dan kamu mulazamahlah dengan guru-guru mu..” kerana di sini pemuda dijauhkan dari Fitnah dan jauh dari ancaman hanyut dalam fitnah yang dihadapi masyarakat.
  3. Tarbiah itu bermacam-macam samada  jasadiah, aqliah dan akhirnya ruhiah. Pendidikan itu perlu berperingkat. Maka kena sentiasa belajar hatta setelah bergelar guru sekalipun. Namun ilmu itu harus sesuai seperti kata pepatah arab “makanan orang dewasa boleh memudaratkan kanak-kanak” yang dikiaskan ilmu kepada seorang alim mungkin boleh merosakkan pelajar yang masih baru.  Pesanan Syeikh: Guru harus terokai ilmu ruhiah sehingga bergelar Robbaniah.
  4. 3 nasihat nabawiah sebagai bekalan ; 1- Sentiasa dalam zikir. 2- Menjadi pelajar setiap masa dalam semua peringkat. 3- Mengikuti jalan dakwah.
  5. Syeikh juga merakamkan kebanggaan kerana mendapat tahu kebanyakan guru yang sedang berkhidmat di MTI Derang sekarang adalah lepasan Syria, malah sebahagian dari mereka pernah berguru dengan kedua syeikh tersebut.
  6. Syeikh mendoakan agar Maahad terus di jalan yang betul dalam membina generasi ilmu, dan sentiasa dalam pertolongan Allah swt.

Program di Dewan Tafaqquh MTI Derang pada tarikh 16 Ogos 2011.

** Lebih banyak gambar boleh dilihat di dalam laman pendidikan facebook maahad www.facebook.com/MaahadTarbiahIslamiahDerang . insyaAllah akan diletakkan dalam galeri web ini juga.

 
 

Buletin ILTIZAM Pertama diterbitkan

15 Aug

Buletin ILTIZAM merupakan terbitan di bawah Pustaka Maahad Derang (PMD). PMD yang berperanan sebagai pusat pengembangan ilmu akan menerbitkan buletin ini secara dwi bulanan. Alhamdulillah terbitan sulung ini telah berjaya diedarkan. Cetakan pertama ini merupakan terbitan khas dan diedarkan secara percuma kepada warga maahad sahaja. InsyaAllah, untuk terbitan kedua dan seterusnya nanti akan diedarkan kepada umum khusnya kepada rakan-rakan sekolah dari HESA.

 
 

MUNAJAT PERDANA MAAHAD – Sempena Ramadhan AlMubarak

10 Aug

 
 

MAAHAD DERANG Melangkah Setapak Lagi Dalam Usaha Perkembangan Ilmu

09 Aug

Ijtima’ Guru dan Staff Maahad Derang pada  14 Julai 2011 (khamis) yang lalu telah secara rasminya menzahirkan PUSTAKA MAAHAD DERANG.

Pustaka Maahad Derang (PMD) ini diwujudkan dengan mengambil ilham dari pustaka yang diwujudkan di Nadwatul Ulama, India dalam urusan mengurus semua aset ilmu sehingga menjadi rujukan pelbagai pihak.

Dengan hasrat yang sama, bermula dari memusatkan semua percetakan dan terbitan dari produk-produk ilmu Maahad, menaiktarafkan perpustakaan, menyediakan latihan sehingga menjadikan pustaka ini sebagai sumber ilmu yang mesti diziarahi oleh setiap pencinta ilmu dalam Negara kita khususnya.

Pusat Pengembangan Ilmu & Dakwah (Pustaka Maahad Derang atau ringkasnya PMD) adalah sebuah isnstitusi ilmu dan dakwah yang didaftarkan secara sah dan dimiliki sepenuhnya oleh Maahad Derang bertujuan untuk menyusun, mengurus dan mengembangkan nilai keilmuan Islam khususnya di kalangan warga dan aset Maahad.

Maklumat Pendaftaran:

Nama didaftarkan : PUSTAKA MAAHAD DERANG

No Pendaftaran : AS0338566-P

Fungsi:

1. Penerbitan semua bentuk buku, kitab, buku-buku teks, majalah.

2. Mengedar dan menjual bahan-bahan ilmiah.

3. Mengurus dan menaiktarafkan perpustakaan (termasuk mengumpul kitab-kitab muktabar, lama dan penting sehingga menjadi rujukan kepada pihak yang berhajat).

4. Mengurus Arkib Maahad.

5. Latihan dakwah dan komunikasi.

6. Mengurus urusan penerangan Maahad melalui edaran online dan manual (Web Maahad, Facebook, dan risalah2 dari semasa ke semasa).

Lembaga Pemegang Amanah :

1-Ustaz Haji Abdul Majid Abu Bakar An Nadwi (Mudir Am – Pengerusi)

2-Ustaz Haji Khalid Musa (Bendahari Maahad)

3-Ustaz Hafiz Haji Mustafa Lubis (Pendaftar Maahad)

Jawatankuasa Pentadbiran

Pengarah : Ustaz Hafiz Haji Mustafa Lubis

Timbalan Pengarah : Ustaz Azfar bin Abdullah

Penerbitan/Jualan: Sdr. Mohd Heldi bin Abd Raof

Maktabah (Perpustakaan) : Ustazah Fadhilah Haji Yusuf

Arkib : Ustazah Hafsah Haji Abdul Majid

Harapan : Dapat membina sebuah kompleks bangunan (setempat) yang menempatkan kedai buku, maktabah, arkib dan dewan ilmiah.

Justeru, sumbangan dan sokongan dari semua pihak amat dialu-alukan. Moga harapan Al-Marhum Ayahanda pengasas Maahad, Syeikhul Rahil Syeikh Niamat Yusof menjadikan Maahad sebagai Pusat Ilmu Nusantara dapat dijayakan  melalui misi ini

Sumbangan dan sokongan boleh diberi dalam bentuk wakaf (kitab, bahan-bahan ilmiah lain, kewangan dan sebagainya.

Sebarang bantuan boleh langsung disalurkan melalui Akaun Bank :

PUSTAKA MAAHAD DERANG (BIMB) cawangan Jitra (02 039 01 006509 4)

Atau hubungi,

Ustaz Hafiz Haji Mustafa Lubis  (019-573 5741)

Ustaz Azfar Haji Abdullah (019-568 7947)

 
 

Maahad Kehilangan Seorang Ulama Muda, Ustaz Mukhtar Abu Bakar

08 Aug

Khamis, 4 ogos lalu Derang seisi warganya dikejutkan dengan berita pemergian seorang guru yang telah lama berbakti di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, yang telah dijemput bertemu dengan Tuhannya. Al-Marhum Ustaz Mukhtar Abu Bakar melepaskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 7.30 pagi.

Beliau yang berusia 39 tahun itu meninggalkan seorang balu dan 8 orang anak antara usia 10 tahun dan 45 hari. Dalam laporan kematian yang dibuat, Dr. Kamal Abdullah dari Poliklinik Alor Setar mengesahkan kematiannya disebabkan demam dan jangkitan kuman di bahagian kerengkong beliau.

Jenazah beliau diimamkan oleh kekandanya Syeikh Abdul Majid Abu Bakar, Mudir Maahad Tarbiah Islamiah Derang di Masjid An-Niamah dengan diikuti oleh ratusan murid, warga maahad dan masyarakat. Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Solihin, Kg Bukit Derang.

Mesyuarat tergempar guru Maahad (7 ogos 2011) memutuskan bahawa tabung khas bantuan kepada keluarga Al-marhum Ust Mukhtar dilancarkan sehingga 25 Ramadhan ini. Tabung tersebut dipengerusikan oleh Ust Abd Mutallib Mohd Nor.

Justeru, pihak maahad mengalu-alukan semua yang berbesar hati membantu meringankan musibah yang ditimpa keluarga almarhum. Sebarang bantuan boleh disalurkan melalui akaun bank atas nama adiknya MOHD RODZI BIN ABU BAKAR, CIMB 02100000555208.

Pihak Maahad juga menugaskan semua group Alumni dan dan group-group maahad yang lain boleh mengumpulkan dana tersebut dan diserahkan sebelum 25 Ramadhan ini ke tangan Pengerusi Tabung. Majlis penyerahan dijangka dibuat pada 25 Ramadhan tersebut.

Untuk makluman lanjut sila hubungi,

Pengerusi Tabung Khas:

Ustaz Abdul Mutallib bin Mohd Nor (012 5320864)